Friday, December 3, 2010

Kerana Allah Maha Besar...


Dengan nama  Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Selamat  keatas kamu serta rahmat dan berkat Allah keatas kamu..
Maha suci allah dan segala puji bagiNya..
Dan tiada tuhan melainkan Dia..
Dia yang Maha Besar..
Tiada daya upaya melainkan kekuatan Dia..
Selawat dan salam buat Rasul junjungan,Muhammad S.A.W
  Kutujukan peringatan ini buat Adinda Zahidah khusus atas permintaannya, buat diriku yang sering leka,Juga buat rafiq yang menemani diri ini dalam meniti perjalanan hidup yang punya hujungnya.Semoga Allah S.W.T Yang Maha Menatap,Yang Maha Memerhatikan Kita selalu memberi peluang kepada kita mengenal diri-sendiri agar kita tidak tertipu dengan topeng yang dipakai .
   Sahabatku bagaimana mungkin kita dapat membaiki orang lain seandainya kita tidak pernah membaiki diri-sendiri,bagaimana mungkin kita bisa mengubah diri-sendiri andai kita tidak jujur dengan diri kita.Sahabat kita seringkali mendengar laungan azan,hampir saban waktu, laungan membesarkan Dia dari sekalian makhluk. Allahuakbar,Allah Maha Besar ertinya segala yang kita saksikan samada besar atau kecil,jagat raya malah seluruh galaksi yang banyak  berada di dalam genggamanNya.
  Dunia ini terlalu kecil disisi Allah apatah lagi kita sahabat.Seandainya dunia ini punya harga sebesar sayap nyamuk disisi Allah nescaya para munafiq,para fasiqun dan kafirun tidak akan diberi Allah walau seteguk air sekalipun.Tetapi tidak begitu,semunafik mana pun hatta fira’aun yang angkuh menyatakan dirinya tuhan, mendapat harta yang melimpah ruah,makanan yang tiada putus-putus.Itu tandanya dunia ini tiada harganya langsung disisi Allah .
  Maka apabila saja terdengar laungan azan,dunia akan menjadi kecil sekali,tinggalkan saja urusan duniamu.Bila bertempur dengan musuh,laungkan Allahuakbar nescaya musuh itu kecil dihadapan kita,musuh adalah bonus untuk kita,pahlawan memerlukan musuh.Jangan gentar berhadapan musuh,musuh itu ladang amal.Kita milik Allah,dia juga milik Allah.Siapa musuh kita??taghut itu musuh kita,yang menentang hukum Allah itu musuh kita,sistem munafik itu musuh kita,yang menghalang dakwah itu musuh kita.
  Sahabat,yang bernilai bukan keduniaan tetapi yang bernilai adalah hati kita,peribadi kita.Tiada gunanya andai peribadi kita nista.Salah-satu peribadi yang mulia adalah, orang tidak mengharap pada manusia.Kita bergaul dengan manusia tetapi hati kita tidak pernah mengharap satu apapun kecuali dari Allah.Biar kita tidak punya harta,rumah berderet-deret,atau kereta besar tapi kita punya harga diri kerana itu yang paling berharga.Apa ertinya kita miliki keduniaan,pangkat dan sanjungan manusia andai peribadi kita jelik disisi Allah,tiada harganya langsung.
   Sahabatku andai kita mengatakan Allah itu Maha Besar maka,tiada tempat untuk kita merasa besar.Semakin kita rendah hati,makin Allah menaikkan darjat kita disisNya.Makin tinggi hati kita,makin rendah darjat kita disisi Allah.Hati kita juga begitu sahabat, bukankah kita senang dengan orang yang rendah hati berbanding yang sering membesarkan diri-sendiri dan sombong.Jangan sesekali meremehkan orang lain,bergaullah dengan orang sesiapa sahaja kerana mereka adalah ladang amal untuk kita.
   Ingat kiasan ini wahai sahabat, akar makin menjunam ke dalam tanah maka pokok makin kukuh,tetapi akar yang tidak menjunam ketanah mudah tumbang pokoknya.Orang yang akan menikmati kehidupan ini ialah mereka yang sentiasa dinista,dicaci,difitnah,diejek,dihina kerana mereka telah dijunamkan kedalam bumi kerendahan hati.Tetapi orang yang sentiasa ingin dipuji bersiap-siagalah untuk berada dalam kegelisahan.Oleh itu sahabat, bahagia bukan dari orang kepada kita,tetapi milik kita jika kita dapat member i kepada orang lain.Semakin kita ingin dihormati semakin hati kita mudah untuk terasa sakitnya.Semakin kita tidak berharap pada makhluk semakin kita merasa nikmat kehidupan.Oleh itu,jangan pernah berharap pada makhluk.Letaklah pengharapan pada Allah.Sama-sama kita melatih diri berharap pada Allah bukan pada manusia.Kerana Allhuakbar.
   Segala peringatan ini kuambil dan ku olah semula dari ceramah bersama KH. Aagymnastiar,Indonesia yang begitu menyentuh qalbu ini.Moga ada pengajaran yang dapat kita hayati bersama.Andai kusilap menuturkan kata tegurlah,andai ku silap menyusun langkah,ingatkanlah,andai daku tersilap membuat pertimbangan nasihatilah daku.Mungkin aku akan melatah tapi untuk seketika cuma,kerana dalam hati masih ada najis kesombongan.Kerana Allahuakbar nasihatilah daku agar daku tidaklupa diri siapa aku sebenarnya.

Kalam Naungan Hijau
Hawa Jamilah Hasani

No comments:

Post a Comment